“Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa …
Surah Al-Mulk ayat 3 & 4.
Maha suci Allah pencipta sekian alam, maha suci Allah pentadbir sekian alam!.Allahu Akbar..!
Pernahkah kita terpikir betapakah luasnya alam semesta kita ini sebenarnya? Atau berapa keratkah dari kalangan kita yang mahu atau pernah memikirkan tentang hal ini? Atau memang kita tidak pernah memikirkanya lansung!
Sebenarnya inilah bukti akan kebesaran dan kehebatan Allah S.W.T pencipta sekian alam kalau kita dari kalangan orang yang mahu berfikir. Betapa tidaknya, sehingga ke hari ini para saintis masih tidak dapat memastikan angka yang tepat untuk merujuk keluasan jagat raya ini. Setiap kali ada saja planet atau galaksi baru yang ditemui oleh mereka seterusnya menyangkal bahawa alam semesta ini adalah terbatas.
Bumi yang kita diami ini adalah diantara trillion planet yang terdapat di alam semsesta ini. Ia adalah ibarat satu titik debu di dalam satu hamparan yang luas.Untuk mengukur jarak di dalam keluasan yang sebegini, kiraan di dalam kilometer tidak boleh diguna pakai sebaliknya ia diukur dalam bentuk tahun cahaya. Satu tahun cahaya bersamaan 9,460,730,472,580.8 km
Pernahkah kita bayangkan bahawa cahaya yang kita lihat pada bintang dimalam hari itu sebenarnya adalah cahaya yang telah dihasilkan oleh bintang berkenaan pada jarak yang menjangkaui jutaan tahun cahaya untuk sampai kepada kita dan berkemungkinan juga hayat bintang berkenaan telah lupus disaat kita melihatnya pada malam tadi.
Pernah satu ketika dikala saya sedang membaca informasi-informasi berhubung keluasan cakerawala ini, badan saya menggeletar secara tiba-tiba lantaran terlalu takjub dengan penciptaan Allah yang maha hebat ini. Bayangkanlah betapa besarnya kekuasaan Allah yang mentadbir sekelian alam yang maha luas ini dan dan mengaturnya tanpa cacat cela walau sedikit pun!
Lantaran itu saya cuba mewujudkan laman ini bagi tujuan mengajak rakan-rakan berkongsi merasai akan kehebatan Allah melalui penciptaanya yang maha sempurna ini. Mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat menambahkan iman atau setidak-tidaknya mengendurkan keegoan kita sebagai mahluk ciptaaNya yang serba hina ini. InsyaAllah.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Surah Ali 'Imran:190)

No comments:
Post a Comment